Jika dahulu masyarakat sering didedahkan dengan bahaya cacing tularan tanah seperti cacing gelang, cacing cambuk, cacing kait dan cacing benang, kini jangkitan protozoa juga tidak harus dipandang ringan.
Malah, bagi mereka yang mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah, kehadiran parasit daripada pelbagai jenis terutama protozoa menjadikan keadaan lebih serius.
Menurut Pakar Parasitologi dan Kesihatan Masyarakat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datin Dr. Norhayati Moktar, perkara ini bukan sesuatu yang baru dalam penyelidikan berkaitan parasit yang menjadi ancaman kepada kesihatan manusia.
“Bagi pesakit AIDS atau kanser yang sedang menjalani rawatan kimoterapi, kebarangkalian untuk dijangkiti parasit usus adalah agak tinggi,” katanya.
SELAIN usus besar, hati, limpa dan paru-paru sering menjadi perumah parasit jangkitan usus.
Protozoa pembunuh
Jelas Norhayati, infeksi protozoa terhadap golongan yang mempunyai sistem imun badan lemah dikenali melalui simptom cirit-birit berpanjangan, hilang selera makan dan turun berat badan.
Jelasnya, protozoa usus daripada jenis koksidia seperti Cryptosporidium parvum dan Isospora belli serta kumpulan mikrosporida usus menjadi penyebab utama cirit-birit berpanjangan.
Norhayati juga menjelaskan, secara amnya, infeksi parasit usus sering ditemui dalam masyarakat namun penghidapnya tidak mempunyai gejala yang jelas.
“Oleh itu, kes-kes jangkitan ini jarang dikesan di pusat kesihatan dan hospital.
“Keadaan ini amat berbeza dengan jangkitan yang disebabkan oleh bakteria atau virus seperti H1N1, di mana pesakit menunjukkan gejala,” jelasnya yang turut menyatakan infeksi ini melibatkan protozoa dan cacing tularan tanah (STH).
Hasil kajian mendapati hampir 80 peratus jangkitan usus ini menular secara senyap kerana tiada gejala khusus.
Ujarnya, meskipun Malaysia merupakan negara membangun, masalah jangkitan parasit usus masih membelenggu penduduk di beberapa kawasan.
Disebabkan sebaran parasit ini menular melalui makanan dan air yang tercemar dengan najis manusia, taburan penyakit lebih banyak ditemui di kalangan penduduk yang tinggal di pedalaman yang tidak mempunyai sistem pembuangan najis yang baik serta bekalan air bersih seperti air sungai.
Ganggu tumbesaran
Tambah beliau, infeksi protozoa usus terutama Giardia intestinalis boleh mengganggu tumbesaran kanak-kanak.
Jelasnya, terdapat beberapa mekanisme bagaimana parasit usus menyebabkan mulnutrisi terhadap kanak-kanak malah golongan dewasa.
“Selain mengganggu sistem penghadaman dan penyerapan makanan, pesakit juga akan mengalami ciri-birit yang kronik, muntah dan sakit di bahagian abdomen.
“Kesan-kesan ini akan menyebabkan pertumbuhan dan perkembagan fizikal dan mental kanak-kanak terbantut,” katanyaDalam pada itu, kawalan dan pencegahan infeksi parasit usus mungkin memerlukan pendekatan yang baru kerana kajian terbaru membuktikan sumber infeksi protozoa spesies Giardia intestinalis bukan saja daripada manusia ke manusia tetapi melalui anjing dan roden.
“Walaupun jangkitan parasit usus ini mempunyai kadar kematian yang rendah dan jarang diperkatakan umum, kawalan dan pencegahan harus dipertingkatkan kerana ia mampu mengganggu kualiti hidup seseorang,” ujarnya.
Sumber dari kosmo..
No comments:
Post a Comment