Soalan:
SAYA jejaka berusia 28 tahun dan akan mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihan akhir bulan ini. Perasaan saya bercampur baur antara gembira, risau dan bimbang dengan apa yang akan dilalui. Selama ini, saya tidak pernah membincangkan soal kelakian dengan rakan-rakan, jauh sekali dengan bapa kerana sifat saya yang pemalu.
Soalan saya, bagaimana saya hendak menempuh malam pertama? Apakah persiapan yang perlu saya lakukan? Bagaimana mahu memastikan malam pertama itu menggembirakan, bukan sesuatu yang menyakitkan atau semata-mata dipengaruhi gelojak nafsu? Apakah amalan-amalan yang patut saya lakukan dalam menempuh kehidupan berkelamin? Bagaimana dengan amalan urut dan tonik lelaki sihat? Apakah ia perlu dalam menjamin malam pertama yang hebat?
Untuk makluman doktor, saya berbadan sihat, cukup ciri fizikal dan selama ini berjaya mengawal nafsu seks dengan baik sama seperti lelaki lain.
J K Fad
Subang Jaya, Selangor.
Jawapan:
TERLEBIH dulu saya ingin mengucapkan tahniah kerana saudara akan menempuh alam perkahwinan tidak lama lagi. Malam pertama adalah detik yang dinantikan penuh debaran oleh semua pasangan yang menempuh gerbang perkahwinan. Semestinya, semua pasangan inginkan malam pertama yang menggembirakan, hebat dan penuh kenangan.
Bagi menempuhi malam pertama, persiapan dari segi fizikal dan mental perlu dilakukan. Dari segi fizikal, saudara perlu pastikan saudara tidak mempunyai bau tidak menyenangkan, sama ada bau badan atau bau mulut. Pastikan badan saudara dalam keadaan bersih terutama sekali bahagian kemaluan. Sekiranya ada masalah kulit atau jangkitan di kawasan itu, pastikan ia dirawat terlebih dulu.
Bulu di kawasan ari-ari perlu dinipiskan supaya kemas dan tidak menimbulkan bau. Malam pertama tidak semestinya berakhir dengan penetrasi dan seks yang hebat. Saudara perlu ingat inilah kali pertama saudara melakukan hubungan seks dengan isteri dan sudah semestinya ada kekurangan jika dibandingkan dengan pasangan yang sudah lama berumahtangga.
Ini ditambah lagi dengan faktor tekanan dan keletihan selepas seharian melayan tetamu .Oleh sebab itu, pada malam pertama saudara disaran usah meletak harapan tinggi supaya tidak kecewa. Mulakan dengan berbual bersama pasangan. Luahkan ungkapan cinta, imbas kembali kenangan manis ketika bercinta dan kini saudara sudah menjadi miliknya. Jadikan pasangan saudara selesa dan tenang. Usah takut berbincang mengenai apa yang kamu berdua mahukan serta harapkan dalam konteks hubungan seks suami isteri.
Merasa selesa dan tenang bersama adalah faktor amat penting untuk memulakan hubungan seks buat kali pertama. Mulakan dengan foreplay dan tumpukan banyak masa untuk aktiviti ini. Ini kerana wanita memerlukan masa bagi menyediakan diri untuk peringkat penetrasi. Foreplay ini termasuk ciuman, pelukan, belaian, sentuhan dan seks oral. Tanya kepada pasangan saudara, kawasan mana dirasakan nikmat lebih banyak. Fokuskan ke kawasan itu. Tumpukan masa untuk menerokai dan mempelajari fokus erotik pasangan anda.
Sebagai seorang suami pada malam pertama, saudara perlu memikul peranan utama tetapi jangan sesekali bersikap terburu-buru, kasar atau rakus. Apabila isteri saudara bersedia, penetrasi perlu dilakukan secara perlahan-lahan. Pastikan vagina dalam keadaan basah. Jika tidak, gel pelincir seperti KY jelly boleh digunakann. Ini adalah kerana persetubuhan akan menjadi tidak selesa dan sakit apabila vagina berada dalam keadaan kering.
Posisi wanita di atas adalah kedudukan paling sesuai untuk malam pertama. Ini adalah kerana dalam posisi ini, isteri saudara boleh mengawal tahap dan kedalaman penetrasi dan boleh disesuaikan mengikut tahap penerimaan beliau.
Pendarahan boleh berlaku semasa penertrasi pertama tetapi ia selalunya berlaku dalam kuantiti kecil dan tidak merbahaya. Adakalanya penetrasi tidak terjadi pada malam pertama. Ini boleh terjadi apabila pasangan saudara masih belum bersedia atau saudara sendiri boleh mengalami kegagalan ereksi ataupun ejakulasi pra matang.
Kegagalan ereksi pada malam pertama selalunya berpunca dari faktor psikogenik .Ini termasuk faktor tekanan, performance anxiety dan tidak ada pengalaman dalam hubungan seks. Ejakulasi pra matang pula boleh berlaku akibat terlalu ghairah dan tidak ada pengalaman dalam mengawal ejakulasi. Sekiranya ini berlaku, saudara jangan gusar atau panik.
Kedua-dua masalah ini lazimnya boleh dipulihkan dengan sendiri dan tidak memerlukan apa-apa rawatan. Hubungan seks perlu latihan dan teruskan hubungan intim walaupun pada beberapa kali yang pertama, ia tidak sehebat yang dijangka.
Ada juga kemungkinan isteri saudara tidak akan mencapai klimaks pada malam pertama. Ini disebabkan pelbagai faktor termasuk penyesuaian diri. Saudara tidak perlu mengambil tonik kesihatan atau menjalani amalan urut sebagai persiapan menghadapi malam pertama. Urut terutama pada bahagian zakar boleh menimbulkan kecederaan dan pelbagai komlikasi.
Tonik tonik kesihatan yang dijual di pasaran kebanyakannya tidak diketahui akan kandungan sebenarnya. Amalkan senaman, pengurusan tekanan yang bijak dan pemakanan sihat .
Jika saudara berdua sihat dan saling menyayangi antara satu sama lain, seks akan menjadi hebat. Bagaimanapun, ia mungkin tidak boleh dicapai dengan satu hubungan pada malam pertama. Saudara perlu bersabar dan belajar mengenai pasangan saudara dari segi fizikal dan mental. Ada pelbagai buku panduan untuk pengantin baru yang boleh didapati di pasaran.
Paling penting, saudara akan bersama insan yang dicintai dan disayangi hingga ke akhir hayat.
Selamat pengantin baru!
petikan berita harian
Pelajari Tip Pada Malam Pertama Secara Percuma Disini